Mengingati Nurin Jazlin setahun kemudian

Saya sempat membaca artikel dari Sinar Harian mengenai keluarga Allahyarhamah Nurin Jazlin setahun selepas tragedi menyayat hati yang berlaku pada tahun lepas. Saya berasa amat sedih melihat bagaimana keluarga Allahyarhamah cuba untuk meneruskan kehidupan tanpa kehadiran Allahyarhamah di sisi mereka.
Luka di hati keluarga Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin masih belum sembuh sungguhpun telah genap setahun kanak-kanak malang yang berumur sembilan tahun itu dibunuh secara kejam oleh manusia yang tidak berhati perut.
Bagi Jazimin Abdul Jalil, 34, dan isterinya Norazian Bistaman, 36, kenangan terhadap anak kedua mereka itu terus segar terutama dalam menjalani ibadah puasa dan menjelang sambutan Aidilfitri.
Ini merupakan kali kedua mereka menyambut hari raya tanpa kehadiran “kak ngah” di kalangan empat beradik itu.
Sungguhpun pahit untuk ditelan, namun bagi Jazimin, isteri serta tiga lagi anak mereka, terpaksa merelakan pemergian Nurin dan redha dengan ketentuan Ilahi.



