Selepas saya membaca petisyen asal yang dikemukakan oleh para penduduk bukan Islam di sekitar kawasan Bandar Kinrara Seksyen 5, saya mendapati bahawa persoalan mengenai laungan azan langsung tidak ditimbulkan, sebaliknya ia adalah berkaitan dengan kuliah subuh dan ceramah maghrib yang dibunyikan terlalu kuat dan menganggu ketenteraman penduduk di sekitarnya. Walaupun saya berpendapat bahawa isu ini adalah terlalu remeh untuk ia dikemukakan sebagai suatu petisyen (sebaiknya wakil penduduk berjumpa dengan pihak masjid untuk menyelesaikan masalah ini) namun disebabkan isu ceramah di waktu-waktu tertentu dikelirukan dengan laungan azan sehingga menyebabkan YB Teresa Kok, ADUN Kinrara dari DAP, ditangkap di bawah akta ISA, maka seharusnya pihak yang terlibat, terutamanya mereka dari UMNO yang cuba memainkan sentimen perkauman dengan polemik ini, merujuk kembali petisyen asal yang dibuat.
Adakah ahli-ahli UMNO tidak mampu untuk membezakan antara laungan azan dengan kuliah/ceramah Subuh dan Maghrib?
Apabila sebuah parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam dan hak bangsa Melayu (tetapi sebenarnya mendokong fahaman assabiyyah) memainkan isu perkauman dan menganggap kaum lain sebagai “pendatang”, maka amat jelas pada saya bahawa mereka mengharapkan untuk meraih simpati orang Melayu/Islam dan bermain dengan sentimen untuk menarik sokongan kepada mereka. Sejarah sememangnya tidak menafikan bahawa bangsa Melayu adalah penduduk asal di Tanah Melayu/Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia selepas kemasukan Sabah/Sarawak/Singapura, tetapi tegaknya bangsa Melayu di sini adalah kerana Islam yang dipertahankan dan nilai-nilai Syariah yang ditegakkan, bukannya disebabkan ketaksuban kepada sesuatu bangsa dan melabel orang lain sebagai “pendatang”.
Zaman telah berubah dan politik perkauman sudah hilang taringnya. Jika mereka yang berfahaman assabiyyah tidak memahami hakikat ini maka akan tiba masanya apabila mereka dinyahkan daripada Putrajaya.
Tokoh wartawan negara dan pejuang kebangsaan yang amat disanjungi, Tan Sri A. Samad Ismail telah kembali ke rahmatullah di bulan Ramadan yang penuh keberkatan Ilahi dan telah dikebumikan semalam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah s.w.t.
Apa yang menariknya tentang Belanjawan 2009? Lebih banyak gula-gula untuk menawan hati rakyat. Tetapi bukankah ini cerita yang sama juga sejak tahun 2004?
Akhirnya seperti yang diminta oleh sesetengah pihak, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah pun bersumpah….tetapi bersumpah di dalam Parlimen sebagai anggota Dewan Rakyat mewakili kawasan Parlimen P44 Permatang Pauh.